Gerakan Alumni Hira'

Singkatan dikenali sebagai GELURA

Be cool!!


Suatu masa dahulu, di tempat yang sangat jauh, ada seorang perempuan tua yang membawa muatan yang berat sepanjang perjalanan di sebuah gurun. Dalam keadaan bersusah payah, dia cuba juga untuk melakukannya sebaik mungkin. Pada ketika itu datanglah seorang lelaki muda dan menawarkan dirinya untuk membantu wanita tersebut mengangkat bebanan itu. Maka berlakulah perbualan antara lelaki dan perempuan tua tersebut.

Makcik amat berbesar hati dan berterima kasih kerana kebaikan hati kamu menolong makcik,” kata wanita tua tersebut. Wanita tua itu sangat suka berbual dan lelaki muda tersebut hanya membiarkankan sahaja wanita itu bercakap dengannya sepanjang perjalanan tersebut tanpa mencelah sepatah perkataan pun.

Wahai anak muda, sepanjang kita berjalan bersama, makcik hanya ada satu permintaan. Jangan kamu cerita tentang Muhammad! Kerana dialah makcik jadi pening kepala dan tidak tenang. Maka, jangan cerita kat makcik tentang Muhammad! Semoga perjalanan kita akan selamat sampai dengan aman.”

Wanita tua itu berkata lagi:

Lelaki itu banyak memberi masalah besar kepada makcik, masalah besar yang kamu sendiri tak dapat nak bayangkan. Makcik dengar nama dia dan kisahnya, di mana sahaja makcik pergi. Sebelum ini, kaum kerabat dia mengenali dia sebagai seorang yang jujur dan kemudian dia telah memecahbelahkan kaumnya dengan membawa ajaran bahawa Tuhan itu Esa!

Dia telah mempengaruhi yang lemah, yang miskin dan golongan hamba dan mengatakan mereka akan mendapat keuntungan dan kebebasan dengan mengikuti jalannya!” kata wanita tua tersebut dengan marahnya.

Dia telah merosakkan pemikiran orang-orang muda dengan meyakinkan mereka semua untuk bergantung harapan kepada yang lain dari berhala mereka. Maka, jangan sekali-kali kamu ceritakan tentang Muhammad!”

Apabila mereka sampai di tempat yang dituju, lelaki itu pun meletakkan barang yang dibawanya dan diberikan semula kepada wanita tersebut. Wanita tua itu pun tersenyum lebar di atas pertolongan lelaki itu dan berkata kepadanya:

Terima kasih wahai anak muda. Sungguh baik hati kamu. Kebaikan dan senyuman kamu nih sangat jarang dijumpai pada zaman sekarang. Biar makcik bagi kamu satu nasihat, jauhkan diri kamu dari Muhammad. Jangan terima katanya atau ikut jalannya. Kalau kamu ikut, nescaya selama-lamanya kamu tidak akan mendapat ketenangan and kamu hanya akan dapat masalah.”

Ketika lelaki itu hendak meminta diri untuk pergi, wanita tua itu pun berkata:

Sekarang, sebelum kita berpisah, Bolehkah makcik tahu siapakah kamu, wahai anak muda? Siapa nama kamu?

Lalu lelaki itu pun memberitahu namanya. Wanita itu senyap seketika:

Maafkan makcik… apa yang kamu cakap tadi? Telinga makcik nih dah tua dan tak berapa nak dengar. Makcik rasa makcik salah dengar tadi. Kamu kata nama kamu adalah Muhammad?

Sayalah Muhammad,” Nabi s.a.w. memberitahu wanita itu.

Lalu wanita tua itu pun bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad Pesuruh Allah, dan memeluk agama Islam.

Kisah ini diambil dari lirik sebuah lagu “Don’t Talk To Me About Muhammad” karya Dawud Wharnsby Ali.

Apakah pengajaran dari kisah ini??

Rasulullah S.A.W. adalah contoh terbaik untuk diteladani, insan yang paling berakhlak mulia sebagaimana pengiktirafan di dalam al-Quran al-Karim:

“Dan sesungguhnya kamu (Muhammad) benar-benar berbudi pekerti yang agung.” (Surah al-Qalam: 4)

Dari kisah tersebut, membantu meringankan beban orang yang lemah atau susah merupakan akhlak yang terpuji tanpa mengira siapa jua sama ada Muslim atau bukan Islam. Walaupun baginda dicaci dan dicemuh, baginda tetap berakhlak mulia tanpa menyakiti hati orang tersebut. Malah ia hanya dibalas dengan senyuman. Dan ternyata, dengan berakhlak baik dapat membuka pintu hidayah kepada manusia untuk menerima Islam. Al-Quran ada menyebut tentang suruhan Allah kepada para pendakwah untuk menyeru manusia kepadaNya melalui contoh teladan yang baik:

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik….” (Surah an-Nahl:125)

Maka, para pendakwah khususnya yang sentiasa berhadapan dengan pelbagai ragam manusia, perlu menanamkan sikap ini, tidak cepat melenting atau rasa marah jika usaha dakwah kita diperlekehkan atau dicemuh. Bersabar dan bersikap tenang dalam setiap keadaan, dan yakinlah Allah akan mengganjari usaha kita dengan kebaikan yang besar di akhirat kelak dan tidak mengharapkan apa-apa balasan dari manusia.

Maka nasihat untuk semua para penggerak dakwah, be cool!! Teruskan usaha anda dengan ikhlas kerana Allah Ta’ala.

Fastabiqul khairaat….!! (berlumba-lumbalah kamu dalam berbuat kebaikan)

0 Comments: